SIAPA SURUH BELASAH BINI SENDIRI

AMPANG: Seorang anggota polis wanita yang tidak tahan kerana sering dipukul dan dibelasah suami hingga lebam seluruh badan hanya kerana kesilapan kecil bertindak nekad membuat laporan polis bagi mengakhiri penderitaannya.


Wanita berusia 20-an itu nekad selepas menerima satu lagi ugutan akan dibelasah suaminya menyebabkan dia membuat laporan polis Rabu lalu.


Akibatnya, suami wanita terbabit yang pernah bertugas sebagai pegawai berpangkat leftenan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diberkas dan terpaksa bermalam dalam lokap untuk membantu siasatan.


Difahamkan, lelaki terbabit ditahan ketika berada di balai polis kerana mahu membuat laporan selepas mendakwa tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya yang ketika itu mahu membuat laporan polis terhadapnya. Menurut sumber polis, wanita malang terbabit dikatakan kerap dibelasah suami hanya kerana kesalahan kecil dan sering berlaku perbalahan antara mereka.


“Pasangan itu dikatakan kerap bergaduh dan setiap kali berlaku pertengkaran, suami mangsa yang panas baran akan memukulnya.


“Difahamkan dalam pertengkaran baru-baru ini, suami mangsa bertindak mengugut akan memukul mangsa jika dia pulang ke rumah,” katanya.


Sumber terbabit berkata, kerana takut dengan ugutan itu dan sudah tidak tertahan menjadi belasahan suami, mangsa akhirnya nekad membuat laporan polis.


“Ketika bertengkar dalam telefon, mangsa memberitahu suaminya dia akan membuat laporan polis selepas menerima ugutan itu.


“Mendengar mangsa mahu membuat laporan polis, lelaki terbabit bertambah berang dan memberitahu akan membuat satu laporan polis lain dengan mendakwa mangsa sengaja mahu mereka-reka cerita,” katanya.


Bagaimanapun, polis yang menjalankan siasatan mendapati mangsa mempunyai kesan lebam dan bekas kecederaan lama dipercayai akibat dipukul suaminya sebelum ini.


“Bertindak daripada laporan dibuat mangsa, polis menahan lelaki terbabit yang berusia 29 tahun ketika dia berada di balai polis.


“Lelaki berkenaan direman empat hari untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin, namun dia tidak boleh menghampiri dan mengganggu mangsa,” katanya.


Katanya, siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada pertengkaran dan salah faham selain suami mangsa berang apabila mangsa sering curiga yang dia mungkin mempunyai hubungan dengan wanita lain.


Difahamkan, suami mangsa sebelum ini bertugas sebagai pegawai berpangkat leftenan dalam TLDM namun dibuang kerja kerana mempunyai masalah disiplin dan kini bertugas sebagai jurulatih keselamatan.


Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan lelaki terbabit.


Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan.



Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/02/08
Related Posts with Thumbnails