AKIBAT TERLALU CEMBURU

KUALA LUMPUR: Cinta gila! Mungkin itu gambaran tepat terhadap tindakan luar biasa seorang lelaki yang sanggup mendera kekasihnya sejak setahun lalu gara-gara dirasuk cemburu melampau dan bimbang gadis terbabit dirampas lelaki lain.

Malah, gadis berusia 24 tahun itu saban hari turut dipukul dan diugut bunuh dengan kejam jika cuba melarikan diri, malah pernah diancam akan dihumban dari tingkat 13 kerana disyaki mempunyai teman lelaki lain.


Lebih menyedihkan, gadis terbabit bukan hanya menjadi mangsa penderaan, malah turut dilayan umpama hamba abdi apabila semua wang gajinya setiap bulan dirampas teman lelakinya.


Bagaimanapun, penyeksaan itu berakhir apabila gadis itu membuat laporan sebelum lelaki berkenaan diberkas polis kelmarin atas dakwaan mencederakan mangsa.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 24, berkata penderitaan dialami bermula selepas dia menjalin hubungan dengan lelaki terbabit yang dikenalinya di kompleks beli-belah Kotaraya, Januari tahun lalu.


Menurutnya, hasil perkenalan dengan lelaki dari Sarawak itu, dia jatuh cinta sebelum diajak mengikut lelaki itu pulang ke asramanya di Jalan Imbi di sini, untuk tinggal bersama.

“Mungkin kerana terlalu percaya dan sayang, saya akhirnya terperangkap apabila kata-kata romantis yang sebelum ini diluahkan teman lelaki saya itu mula bertukar menjadi maki-hamun serta sepak terajang.


“Entah di mana silapnya, dia mula berubah sikap menjadi panas baran hingga tidak dapat mengawal perasaannya hampir setiap hari. Saya langsung tidak dibenarkan pulang ke rumah keluarga, sebaliknya diarah tinggal bersamanya di asrama berkenaan selepas kad pengenalan saya dirampas,” katanya ketika ditemui.


Menurutnya, dia pernah cuba melarikan diri, namun teman lelakinya memburu dan mengheretnya pulang ke asrama berkenaan yang turut dihuni beberapa lelaki lain.


“Hampir saban hari saya diugut akan dipukul dan dibunuh jika meninggalkannya. Malah, segala gerak-geri saya diperhatikan saban masa.


“Malah, tabiat gilanya yang cemburu buta menyebabkan saya kerap dibelasah tanpa sebab. Hampir setiap minggu saya diterajang dan ditumbuk, namun saya takut untuk lari kerana bimbang perkara lebih buruk menimpa saya dan keluarga,“ katanya.

Siti berkata, pada masa sama, dia dipaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan bersama kekasihnya di sebuah pusat beli-belah di ibu kota bagi menampung kehidupan mereka.

“Namun, semua wang gaji saya berjumlah RM1,200 dirampas lelaki terbabit. Jika lapar atau ingin membeli sesuatu, saya terpaksa merayu meminta sedikit wang daripadanya.


“Apa yang saya tahu, semua wang gaji saya digunakannya untuk berjudi dan membeli arak. Sering kali saya dibelasah ketika dia dalam keadaan mabuk sehingga mata saya lebam ditumbuk,” katanya.


Dia yang berasal dari Segambut Dalam di sini, berkata setiap kali puas membelasahnya hingga separuh mati, lelaki itu akan berubah sikap secara mendadak hingga sanggup melutut meminta maaf atas keterlanjurannya tetapi kemudian penderaan itu berulang lagi.


Terbaru, Sabtu lalu mangsa mengalami pendarahan di mata akibat ditinju lelaki terbabit.


Menurutnya, dia yang mencurahkan masalah dihadapi kepada rakan sekerjanya kemudian dipujuk supaya melarikan diri dan membuat laporan polis.


“Atas dorongan rakan, saya memberanikan diri membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun HS Lee tanpa disedari teman lelaki,” katanya yang lega selepas bebas daripada cengkaman lelaki itu.

3 Responses
  1. Ah Fatt Says:

    mcm kurang bijak gak perempuan tu kan


  2. lucky Says:

    kejam.. tp pelik gak.. asl pmpuan tu uat diam jek.. time awl2 kene tu.. cabut laa trus... huu~~ i guess ble da syg tu.. mcm2 ley tahn kn.. ;)


  3. btol 2..pmpn 2 takut kn dy ckp..takut laki 2 lg mengganas..lgpn laki 2 slalu awasi dy..cmne nk lari..2 pn nasib bek ada peluang..


Related Posts with Thumbnails