BONUS TABUNG HAJI 5%


KIRA-KIRA 5.1 juta pendeposit Tabung Haji (TH) akan menikmati bonus lima peratus keseluruhan bagi 2009 yang akan dikreditkan dalam akaun masing-masing, Isnin ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jen (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pembayaran bonus kepada 5.1 juta pendeposit itu adalah tambahan 2.75 peratus bagi separuh kedua 2009 daripada bonus interim 2.25 peratus pada separuh pertama 2009 dengan anggaran keseluruhan bayaran RM1.1 bilion.

“Kadar bonus itu lebih kompetitif, malah jauh lebih baik berbanding kadar simpanan tetap dan tabungan komersial.


“Walaupun 2009 tahun yang mencabar, TH dengan komitmen dan perancangan rapi masih mampu mencatat pencapaian kewangan yang boleh dibanggakan termasuk kemampuan mengekalkan kadar bonus pada 2009 dan tahun sebelumnya meskipun dalam keadaan pasaran dan keuntungan deposit di perbankan komersial menurun sejak 2008,” katanya pada sidang media ketika mengumumkan kadar bonus itu di Putrajaya, semalam.


Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Ismee Ismail.


Beliau berkata, TH merekodkan keuntungan selepas zakat melepasi RM1 bilion tiga kali berturut-turut sejak 2006. Menurutnya, pendapatan dan keuntungan selepas zakat TH tahun lalu masing-masing RM1.7 bilion dan RM1.1 bilion iaitu meningkat 12 peratus berbanding 2008.

Beliau berkata, keuntungan urus niaga saham penyumbang utama kepada peningkatan itu iaitu 49 peratus diikuti dividen (19 peratus), keuntungan bon Islam (10 peratus), keuntungan pasaran wang (lapan peratus), sewaan (tujuh peratus), keuntungan jualan hartanah dan aset (lima peratus) dan lain-lain (dua peratus).


Katanya, dari segi simpanan pula, dana pendeposit terkumpul meningkat 12 peratus iaitu dari RM20.6 bilion pada 2008 kepada RM23 bilion tahun lalu.

“Dana pendeposit terus menunjukkan peningkatan tinggi dan berterusan sejak 2006 dengan peningkatan 9.7 peratus dari RM13.3 bilion pada awal 2006 kepada RM23 bilion pada akhir 2009.

“Peningkatan ini menunjukkan keyakinan pendeposit dengan penambahan simpanan RM5.9 bilion dan penambahan nilai RM3.8 bilion daripada aktiviti pelaburan sejak 2006,” katanya.


Selain itu, beliau berkata, TH juga memperuntukkan RM39 juta sebagai zakat perniagaan berbanding RM38 juta 2008 dan ia akan diagihkan ke setiap negeri mengikut jumlah purata baki terendah bulanan deposit terkumpul hingga Disember 2009

Ditanya mengenai prestasi sepanjang 2010, Jamil Khir berkata, TH optimis untuk meningkatkan kadar bonus atau sekurang-kurangnya mengekalkan kadar pembayaran bonus kepada pendepositnya tahun ini jika keadaan ekonomi negara dan dunia menunjukkan perkembangan positif.

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
2010/02/04

0 Responses
Related Posts with Thumbnails